Thursday, June 5, 2003

Deja-vu


Deja-vu adalah satu keadaan di mana secara spontan hati anda berkata bahawa anda pernah berada di situasi tertentu, dengan keadaan seperti yang ada di sekeliling anda secara tepat. Ia mungkin terbit daripada suatu kebetulan, tetapi lebih kerap lagi ia seolah-olah mengesahkan pesanan di masa silam bahawa anda akan menghadapi situasi itu pada masa hadapan.

Bagi sesetengah ahli agama, perkara ini begitu mudah dijelaskan. Manusia dikatakan sudah pun menerima takdir hidupnya sebelum dia dilahirkan. Justeru perjalanan hidupnya telah tersusun kemas. Walau bagaimanapun, manusia mampu membuat pilihan untuk
membentuk hidupnya sendiri, dan perjalanan hidup alternatif berdasarkan pilihannya itu juga sebenarnya telah ditulis. Kadang-kala seseorang itu menerima imbasan akan pembentangan perjalanan hidup yang ditunjukkan kepadanya di alam roh.

Dari segi saintifik, ia mungkin dapat dijelaskan melalui hakikat bahawa otak kita menjalankan pelbagai operasi pemprosesan maklumat tanpa kita sedari. Ia dipanggil "subconscious thinking". Di kala kita memandang ke sekeliling kita, sebagai contoh, kita
melihat segala apa yang terdapat di hadapan kita.

Walau bagaimanapun, persepsi kita hanya memberi tumpuan kepada perkara yang menarik, seperti seorang penjual aiskrim dan pelukis. Namun, otak kita mampu menyimpan segala butiran, termasuk warna dan tekstur batang pokok dan pergerakan bayang-bayang di atas
tanah - cuma disebabkan kita tidak memberi tumpuan kepada butiran itu, kita tidak mampu mengambil semula maklumat tersebut dari ingatan untuk diperjelaskan melalui mulut.

Perkara ini telah dibuktikan, malah mampu memberikan faedah yang bermakna. Sesetengah saksi kejadian jenayah tidak dapat memberikan maklumat yang penting kerana ingatannya kabur. Kadang- kala mereka diletakkan dalam keadaan separa sedar atau "subconscious state" melalui hipnosis. Mereka sering dapat memberikan penjelasan yang tepat dalam keadaan separa sedar dan membantu pihak polis menyelesaikan kes yang rumit.

Keadaan deja-vu dan desakan hati yang seolah-olah memberi alamat akan kejadian buruk di masa hadapan mungkin berlaku disebabkan otak kita yang menjalankan pemprosesan maklumat secara separa sedar. Dalam keadaan tertentu, otak mungkin menyampaikan isyarat penting kepada kita bahawa sesuatu akan berlaku, berdasarkan pemprosesan maklumat tersebut. Kita mungkin tidak memahami isyarat itu sepenuhnya, tetapi
kita sering bertindak mengikutnya.

Kembali kepada cerita rekaan kita tadi, mata dan telinga anda mungkin telah menangkap imej dan bunyi tertentu yang membuatkan otak anda menghasilkan suatu rumusan penting. Bunyi dan imej itu diterima secara tidak sedar kerana anda tidak menumpukan kepadanya,
tetapi otak tetap memprosesnya. Suatu isyarat kecil - suara hati yang halus - memaklumkan anda bahawa sesuatu yang besar dan laju akan menuju ke lokasi anda tidak lama lagi. Maka anda bertindak untuk mengelakkannya, walaupun anda tidak berapa sedar apa yang sedang anda lakukan.

Namun segala ini hanyalah hipotesis. Ia tidak dapat dibuktikan oleh sains sehingga tahap teknologi kita mampu memecah kebuntuan berkenaan pemikiran manusia. Sehingga itu, di sebalik segala misteri lain di alam ini, minda kita terus mencetuskan persoalan di kala ia
sendiri menjawab pelbagai persoalan.


No comments:

Post a Comment